Tuesday, January 11, 2011

Anda Lihat Kesannya

Pengesanan awal kanser payu dara

“Saya mahu membantu dengan berkongsi pengalaman dengan yang lain. Ketika pertama kali menyedari ada ketumbuhan, saya jahil atau mungkin tidak mahu menerima hakikat itu.

“Saya ke klinik berjumpa doktor dan dirujuk ke hospital untuk menjalani mamogram. Saya dimaklumkan ketumbuhan itu tidak berbahaya,” kata Sarah Chee pada pelancaran kempen 'Pink Purse’ dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) dan GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK), di bandar Sunway, baru-baru ini.

Kempen berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kanser payudara dalam kalangan rakyat negara ini, selain mengumpul dana.

Sehingga 33 peratus daripada jumlah populasi wanita di Malaysia menjadi mangsa kanser payudara; iaitu 1 daripada 20 wanita Malaysia menghadapi kebarangkalian tinggi mengalami kanser payudara. Risiko ini adalah tinggi.

Statistik ini boleh dikurangkan melalui pengesanan awal. Kesedaran mengenai penyakit ini dan amalan pemeriksaan sendiri payudara dapat membantu mencegah kanser payudara peringkat lanjut!

Sarah memberitahu, ketumbuhan itu buat pertama kali dikesannya pada 1997 dan beliau tidak ambil kisah sangat kerana keputusan mamogram adalah negatif. Sarah dengan gembira meneruskan gaya hidup sihatnya.

“Saya berlari tiga kilometer sehari, makan dan minum secara sihat. Tidak terfikir untuk bertemu doktor pakar bagi mendapatkan pandangan kedua. Kemudian saya mula sedar yang ketumbuhan itu semakin besar,” kata Sarah kepada orang ramai yang hadir sempena pelancaran kempen berkenaan.

Beliau mengakui, menghadiri kempen kesedaran kanser payudara bukan rutin beliau sehinggalah memutuskan untuk memeriksa semula ketumbuhan yang terus membesar itu, 10 bulan kemudian.

“Saya bertemu dengan doktor pakar selepas menyedari ketumbuhan itu membesar. Daripada raut wajahnya, sudah tahu berita akan disampaikan tidak baik. Akhirnya biopsi dilakukan, dan keseluruhan payudara saya dibuang segera.

“Kesemua ketumbuhan mesti diperiksa dengan serius dan dirawat dengan segera. Kanser payudara bukanlah bermakna hukuman mati,” katanya yang menangis tiga hari tiga malam selepas disahkan menghidap kanser.

Sarah kini merupakan seorang anggota 'Pink Angel’ yang sedia menemani mereka yang mengalami kanser payudara dan memerlukan bantuan.

Isu Terkini

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites